Friday 8 July 2011

Wani Ingin Menjadi SITI :)

                                               Hye Korang ! Welcome Back  :)
                
                                  



Wani Ingin Jadi Siti :)






             
SELEPAS bergelar juara dalam program realiti TV, Kamilah Bintang penghujung tahun lalu, Syawani Sapari atau Wani tidak ingin menoleh ke belakang lagi.
Malah, kata Wani, 11, yang dikatakan memiliki vokal mirip penyanyi terkenal dari seberang, Rossa juga serius ingin menempa nama dalam bidang seni tempatan.

Sebagai persediaan bergelar penyanyi, Wani mengikuti kelas vokal di Singing Shop Ampcorp Mall, Petaling Jaya kerana yakin kerjaya nyanyian juga perlu ilmu di dada.

“Saya mengikuti kelas vokal ketika pembabitan awal dalam bidang nyanyian. Apabila menyertai Kamilah Bintang, saya berpeluang mendalami ilmu vokal dan fosetto dari tenaga pengajar, Amy Search, Stacy, Aizat, Noh Hujan dan Farah Asykin sepanjang terbabit dalam program realiti TV ini.

“Bersandarkan ilmu nya­nyian yang ada, saya yakin untuk mencari tapak
di persada seni tanah air. Saya juga bangga apabila album sulung berjudul Wani menjadi taruhan untuk menjadi penyanyi popular. Album ini berkonsep pop dan balada diterbitkan Measat Broadcast Network System (MBNS),” katanya.

Wani mengakui cukup bertuah kerana berpeluang menghasilkan album penuh yang sememangnya diimpikan selama ini. Jika rakan seperjuangan lain dalam Kamilah Bintang masih ternanti-nanti peluang itu, tetapi rezeki Wani kini sudah di depan mata. Album itu mula menjengah pasaran tempatan pada 27 Mei lalu.

“Bagi saya, album ini cukup istimewa kerana ia penampilan artis muda seperti saya yang baru berusia 11 tahun. Justeru, saya akan bekerja keras untuk mendapat tempat di persada seni tanah air. Saya akui persaingan juga sengit tapi saya bersedia bersaing secara sihat dengan bakat baru sedia ada.

“Album ini mendapat sentuhan tiga komposer terkenal tanah air iaitu Rudi Muhammad (Kunci Demak), Sham Kamikaze dan Shazee Ishak. Proses rakaman album juga bermula Februari lalu membabitkan tiga studio iaitu Studio 21, Studio Hikayat dan Studio Fuse.

“Saya juga bersyukur kerana MBNS bersikap lebih terbuka dalam pemilihan genre muzik dimuatkan dalam album, sekali gus memberi peluang pada saya meneroka kepelbagaian genre muzik serta mencari kesesuaian dari segi vokal. Mini album ini memuat­kan lima lagu iaitu Cintamu Bermakna, Sabar, Mengejar Bintang, Tra La La dan Teman Setia,” katanya.

Lebih memberangsangkan, Wani juga berduet dengan juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Hafiz dalam lagu Sabar yang dimuatkan dalam albumnya itu. Pemilihan Hafiz untuk berduet dengan Wani juga kerana vokalnya serasi dengannya.

“Saya memang minat Hafiz kerana vokalnya yang bagus. Saya turut berasa bangga kerana dia sudi berduet dengan saya. Hafiz juga tidak lokek berkongsi ilmu dengan dengan saya sepanjang sesi rakaman lagu berkenaan sebelum ini,” katanya.

Sekalipun sudah bergelar artis rakaman dan sibuk menjayakan sesi fotografi, penuntut Sekolah Rendah Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor tetap mengutamakan pelajarannya.

Kata Wani, dia akan pastikan pembabitannya dalam bidang nyanyian tidak mengganggu pelajaran yang juga jaminan masa depannya. Misinya ingin menjadi penyanyi berilmu.

“Saya juga hanya turun padang untuk mempromosikan album ini ketika musim cuti sekolah. Misi saya ialah untuk menjadi penyanyi yang berjaya seperti Ramlah Ram dan Datuk Siti Nurhaliza. Malah, saya sering menyampaikan lagu popular Ramlah iaitu Ketentuan dalam persembahan,” katanya.

Sementara itu, Wani juga mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan dengan mengasah bakat menerusi filem Jidin Sengal arahan Esmi Zahara Yusof terbitan Outloud Studio.

Wani memegang watak Piah ketika kecil sebanyak lima babak dan ia dijangka menemui penonton pada Ogos nanti. Tidak ketinggalan, filem Cinta Ekstra dan Geng Bas Sekolah.

“Selain menyanyi dan menari, saya ingin mempelbagaikan lagi aktiviti seni dengan menceburi bidang lakonan pula. Saya sudah mula berlakon sejak usia tujuh tahun lagi. Namun, keutamaan tetap pada bidang nyanyian,” katanya.

Mengimbas latarnya, Wani adalah pelajar yang aktif di sekolahnya. Selain sibuk membina karier dalam bidang nyanyian, Wani juga menyertai Unit Kebudayaan dan Sukan serta aktif mewakili sekolah di pelbagai pertandingan iaitu Tilawah Al-Quran, acara sukan balapan, nasyid dan persatuan kebudayaan di sekolahnya.
~Wani~




                                   Thanks :)